KUCHING: Tiga lelaki mengaku tidak bersalah semalam di Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua remaja dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Jalan Song minggu lalu.
Tertuduh, Johny Liew Sze Ming dari Sibu, Lai Muk Hui dan Ng Chap Khing masing-masing dari Kenyalang Park dan RPR Batu 12, bagaimanapun dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM2,000 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu kes itu diteruskan.
Majistret Zulhairil Sulaiman menetapkan 5 Januari depan sebagai tarikh pengurusan kes, manakala tarikh perbicaraan pada 25 Januari 2016.
Dalam kes itu, lima individu ditahan termasuk seorang ibu dan gadis berusia 18 tahun dipercayai terbabit dalam insiden di CityONE Mall pada Ahad lalu, bagaimanapun kedua-dua wanita itu dibebaskan tanpa syarat.
Dalam kejadian itu, pengadu (remaja) dikatakan mengganggu anak perempuan wanita berkenaan sebelum Liew yang merupakan kenalan ibunya datang bersama dua lelaki untuk ‘mengajar’ pengadu selepas dimaklumkan berhubung insiden tersebut.
Rakaman video kejadian berkenaan viral di Facebook yang memaparkan dua remaja lelaki melutut di hadapan sekumpulan lelaki ketika dicederakan.
Liew dan wanita berusia 50 tahun serta anaknya ditahan di Sibu pada Isnin lalu dan direman selama empat sejak itu bagi membantu siasatan sementara Lai, 46, dan Ng, 43, ditahan di Kuching.
Pada mulanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana melakukan rusuhan, namun tiada elemen rusuhan didapati ketika siasatan.
Kesemua tertuduh berdepan tuduhan di bawah Sekysen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 mengikut akta sama yang boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika didapati bersalah.
Pendakwaan dibuat oleh Inspektor Ahmad Ilias manakala kesemua tertuduh diwakil peguam Ting Yong Ginn dan Rosli Gapor.
Sumber: The Borneo Post
No comments:
Post a Comment