19 December 2015

Ujian DNA sahkan kepala yang ditemui milik Bernard Then - KPN

PUTRAJAYA: Pihak berkuasa Filipina telah mengesahkan secara lisan bahawa kepala yang dijumpai di selatan negara itu adalah milik Bernard Then Ted Fen, berdasarkan ujian DNA.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, walaupun pihak Filipina belum mengesahkan secara bertulis, namun keputusan terkini menunjukkan mangsa merupakan Bernard yang diculik dari Sabah.

"Saya mengucapkan takziah kepada keluarga Bernard."Kita akan mengambil segala langkah yang perlu untuk membawa mereka yang melakukan kesalahan itu untuk berhadapan dengan undang-undang negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Universiti LimKokWing, di sini, hari ini.

Tambahnya Polis telah menghubungi pihak berkuasa Flipina untuk mengekstradisi penjenayah yang terlibat dalam kes pembunuhan Bernard Then.

Then, 39, seorang jurutera elektrik dari Sarawak dipenggal kepalanya pada 17 Nov lepas di kubu kuat Abu Sayyaf di Kepulauan Jolo, kira-kira 1,400km di selatan Manila.

Mangsa diculik bersama seorang wanita, Thien Nyuk Fun, 50, oleh empat lelaki bersenjata di Restoran Ocean King, Sandakan pada 7.45 malam 14 Mei lalu.

Thien bagaimanapun dibebaskan pada 8 Nov lalu selepas dipercayai membayar sejumlah pampasan.

Selasa lalu, Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata,mayat tanpa kepala yang dijumpai tentera Filipina baru-baru ini di Sulu, disyaki mayat Bernard Then.

Katanya, ia berdasarkan penemuan terakhir selain maklumat tambahan oleh pasukan keselamatan Filipina yang diperoleh kementeriannya.

18 December 2015

Tayar pesawat Airasia pecah ketika mendarat di Sibu

SIBU -  Sebuah Pesawat A320 Air Asia tidak dibenarkan berlepas di Lapangan Terbang Sibu malam ini, selepas tayar belakangnya meletup sebaik sahaja mendarat kira-kira 7.20 malam ini.

Pengurus Malaysia Airport Berhad Sibu, Zainuddin Abu Nasir berkata, kesemua 138 penumpang serta enam anak kapal penerbangan AK6440 itu tidak mengalami kecederaan, dan pesawat tidak dibenarkan berlepas setelah diarah ke 'Bay 3', sebaik sahaja mendarat.

Beliau berkata kejadian itu mengakibatkan satu unit lampu di tepi landasan mengalami kerosakan, namun ia tidak menjejaskan jadual lain-lain penerbangan, malam ini.

"Pesawat sudah diletakkan di 'open bay' kami dan sedang dibaiki manakala lampu landasan sudah ditukar," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata penumpang yang sepatutnya menaiki penerbangan Sibu-Kuching pada 7.50 malam ini, terpaksa menunggu sebuah pesawat AirAsia lain yang dijangka berlepas awal pagi ini.

Menurutnya punca insiden masih dalam siasatan.Sementara itu, difahamkan kejadian tersebut mengakibatkan kelewatan selama beberapa jam bagi dua lagi penerbangan, MH3383 ke Kuching dan MH3660 ke Miri.

Sumber- Bernama

17 December 2015

Misteri Jururawat Hilang, Mungkin Dibaham Buaya

Misteri kehilangan seorang jururawat yang dikhuatri lemas di Pantai Pasir Pandak, Santubong di sini sejak Sabtu lalu masih belum terungkai.

Bagaimanapun, mangsa Nurul wazieyana Mohd Yusof,23, verasal dari Johor disyaki dibaham buaya ketika sedang berjalan menyusuri pantai berkenaan.

Spekulasi Nurul yang bertugas di Hospital Umum Sarawak (HUS) dibaham buaya dikuatkan lagi dengan penemuan seluar panjang milik mangsa yang ada kesan koyakan padanya pada pukul 3.30 petang kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Earnest John berkata, pemeriksaan terhadap pakaian mangsa mendapati ada kesan seakan-akan gigitan buaya dipercayai daripada jenis jejulong yang boleh hidup di air masin.

Bagaimanapun katanya, pengesahan lanjut mengenai kesan gigitan pada pakaian tersebut masih dijalankan."Sebelum ini, rakan mangsa dalam keterangan mengatakan dia (rakan mangsa) tidak pasti samaada mangsa ditarik ombak atau buaya kerana keadaan ketika kejadian adalah gelap," katanya ketika dihubungi semalam.

Mengulas lanjut, ujarnya bapa mangsa Mohd Yusof Osman juga telah membuat pengecaman terhadap pakaian yang ditemui dan mengesahkan ia milik Nurul.

Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Kuching, Tiong Ling Hii berkata, kawasan pencarian akan diperluaskan kepada 10 kilometer radius termasuk di sekitar Sungai Santubong dan Sungai Batang Salak.

Katanya, operasi mencari mangsa turut dibantu pasukan Agensi Penguatkuasaan Matitim Malaysia (APMM) yang melakukanpencarian di sekitar laut.

"Pihak polis turut menjalankan pencarian di sekitar Sungai Santubong, manakala anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di kawasan darat Pasir Pandak," katanya.

Sumber: Kosmo!

16 December 2015

Tol Jambatan Tun Salahudin Dimansuhkan Berkuatkuasa 1 Januari 2016

KUCHING : Sarawak bebas tol menjelang 1 January tahun depan dengan pemansuhan tol di Jambatan Tun Salahduddin di Kuching seperti mana yang telah diumumkan oleh Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem hari ini.

Menerangkan perkara tersebut kepada media Ketua Menteri  Tan Sri Adenan Satem memberitahu tiada pampasan terlibat dalam rundingan tersebut.

Jelasnya syarikat tersebut prihatin dengan rakyat Sarawak dan bersetuju dengan cadangan tersebut.

Tambahnya pejabat plaza tol itu juga akan diambil alih untuk menempatkan Jabatan Perkhidmatan Pembentungan Sarawak yang berdekatan dengan loji sistem pengurusan air sisa secara bersepadu.

Beliau memberitahu demikian selepas penangguhan mesyuarat bagi penggal kelima, Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-17 di Kuching.

Kesan gigitan pada pakaian

Santubong: Kehilangan seorang jururawat wanita yang dikhuatiri lemas di Pantai Pasir Pandak di sini, Sabtu lalu terus menjadi misteri apabila pakaian dalam dipercayai milik mangsa ditemui berdekatan pantai, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, pasukan penyelamat menemui pakaian dalam wanita di lokasi sama dengan penemuan pakaian dan tudung dipakai mangsa, Nurul Wazieyana Mohd Yusof, 23 sewaktu hari kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Superintendan Earnest John berkata, pemeriksaan terhadap pakaian ditemui kelmarin dan semalam mendapati ada kesan seakan-akan gigitan buaya.

Bagaimanapun, menurutnya, pengesahan lanjut mengenai kesan gigitan pada pakaian itu masih diperlukan.

“Sejurus kejadian pada Sabtu lalu, rakan mangsa membuat laporan di Balai Polis Santubong mengenai kehilangan mangsa.

Dalam keterangan rakan mangsa, dia tidak pasti sama ada mangsa ditarik ombak atau buaya kerana keadaan ketika itu Maghrib dan gelap.

15 December 2015

Angin Kencang, Kenaikan Paras Air Laut Di Pantai Timur & Sarawak Esok

Angin kencang, laut bergelora serta kenaikan paras air laut dijangka berlaku di kawasan perairan pantai timur serta Sarawak bermula pada Rabu.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan bahawa angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40-50 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur dan Sarawak sehingga Ahad.

Keadaan ini adalah berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut, menurut jabatan itu.

Selain itu ia turut memaklumkan kawasan pantai Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut, dijangka  bermula Khamis hingga Sabtu ini.

Sumber :Jabatan Meteorologi Malaysia/mStar

Adun Sarawak lulus usul pertahan hak PerjanjianMalaysia

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sarawak sepakat memutuskan memberi mandat kepada kerajaan negeri untuk"mengambil semua langkah dan tindakan sewajarnya" memelihara hak dan kepentingan negeri itu dengan memastikan Putrajaya melaksanakan sepenuhnya Perjanjian Malaysia 1963.

Kesemua 61 Adun yang hadir hari ini, daripada keseluruhan 71 kerusi, menyatakan sokongan terhadap usul Menteri Pembangunan Tanah Tan Sri Dr James Masing yang menggesa kerajaan persekutuan melaksanakan perjanjian itu yang digubal ketika pembentukan Malaysia.

Artikel VII Perjanjian Malaysia menjanjikan hak negeri dilindungi melalui "semua saranan dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) demi membangun dan melindungi kepentingan istimewa negeri dan rakyat Sarawak.

"Mandat hari ini memberikan kerajaan negeri kuasa berunding dengan Putrajaya bagi menyelarikan dasar persekutuan berkenaan pendidikan, kesihatan dan bahasa rasmi "supaya konsisten dengan perlindungan dan terma dalam laporan IGC itu".

Mereka juga menuntut mandat itu diberikan kepada kerajaan negeri dipimpin Tan Sri Adenan Satem untuk menyemak semula perundangan persekutuan, termasuk pindaan atau menarik balik undang-undang yang memberikan kesan kepada hasil bumi negeri.

Undang-undang itu termasuklah Akta Wilayah Laut 2012 yang mengehadkan perairan negeri kepada antara 3 batu nautika dari pantai, dan Akta Petroleum 1966 yang memberikan kesan kepada tuntutan hasil minyak.

Semakan itu juga termasuk keputusan kerajaan persekutuan atau polisi jika "tidak konsisten" dengan aspirasi rakyat negeri itu seperti termaktub dalam Suruhanjaya Cobbold dan laporan IGC."

Masing berkata, mandat itu juga perlu digunakan untuk memulakan semakan terhadap geran dan hasil lain negeri. Datuk Abdul Karim Hamzah, pembantu menteri perumahan, berkata, terdapat banyak rasa tidak puas hati rakyat Sarawak dalam jaminan yang tidak dipenuhi dalam Perjanjian Malaysia dan hak terhakis melalui pelbagai polisi kerajaan persekutuan.

Ahli Parlimen Bandar Kuching (DAP) Chong Chieng Jen menyalahkan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dari Sarawak yang "tidur" kerana gagal menjalankan tugas kepada negeri dan membenarkan polisi kerajaan persekutuan menafikan hak negeri.

13 December 2015

Tiga ditahan, seorang bolos curi durian

KUCHING: Tiga lelaki ditahan polis selepas ditangkap kerana mencuri buah durian di sebuah dusun di Jalan Sungai Buah, Santubong, dekat sini, kelmarin.

Difahamkan, ketiga-tiga lelaki berasal dari kawasan Rampangi itu ditahan pemilik dusun durian berkenaan bersama ahli keluarganya ketika membuat pemeriksaan sekitar jam 10 malam.

Pemilik dusun terkejut apabila melihat empat lelaki tidak dikenali berada di dusunnya itu dan kemudian terus menahan mereka.“Tiga daripada suspek berjaya ditahan manakala seorang berjaya melarikan diri,” kata sumber.

Selain itu, pemilik dusun berusia sekitar 60-an turut menemui kira-kira 20 biji durian di dalam dua guni dipercayai cuba dilari suspek.

Suspek kemudian diserahkan kepada pihak polis dan turut ditemui ialah sebuah motosikal dipercayai milik seorang daripada suspek.

Laporan polis berhubung kejadian telah dibuat dan siasatan lanjut pihak polis masih dijalankan.

Sumber: The Borneo Post

10 December 2015

Autonomi dituntut, subjek sejarah harus dirombak, kata Adenan Satem

Berikut ialah jawapan Ketua Menteri Sarawak dalam sesi soal jawab TV3 semalam berkaitan pembangunan serta hala tuju Negeri Sarawak.

1. Autonomi Untuk Sarawak - dahulu semasa perjanjian Malaysia 1963, kita telah mensyaratkan beberapa perkara untuk survival bangsa Sarawak di dalam Gagasan Malaysia.

Sekarang kami mahunya kembali kerana kami boleh menguruskannya sendiri.

Autonomi yang dituntut bukannya autonomi yang diminta-minta secara begitu sahaja SEBALIKNYA ianya sudahpun tertulis di dalam perjanjian Malaysia.

Bukan bermakna meminta autonomi kita hendak KELUAR MALAYSIA tetapi kita hanya menuntut apa yang telah dimeterai dahulu. Jadi tiada isu hendak keluar Malaysia dan tiada yang perlu ditakuti oleh Kerajaan Persekutan kerana sejarah membuktikan keberadaan Sarawak membentuk Gagasan Malaysia adalah untuk bersama-sama mempertahankan diri daripada ancaman komunis dan sebagainya. Kami bukan orang yang tidak tahu sejarah itu semua.

2. Autonomi Pendidikan: Dasar Pendidikan sekarang adalah satu dasar flip-flop polisi yang dikeluarkan oleh Menteri Pendidikan telah menghancurkan dasar pendidikan yang sepatutnya boleh melahirkan bijak pandai generasi muda dari Sarawak. Malah penempatan guru-guru juga menjadi satu yang mustahak kerana hanya orang Sarawak yang lebih mengenal apa itu adat budaya orang Sarawak.

2. Toleransi Kaum - In order you want to be tolerate, you need to respect each other. Di Sarawak, kaum bumiputera bukan hanya beragama Islam malah juga beragama lain misalnya Kristian dan Pagan. Kami ada lebih 30 etnik dengan beratus-ratus bahasa dan dialek seperti juga kepercayaan. Jika tiada dasar keterbukaan yang tidak diamalkan malah akan hancur satu negara. Kami tidak mahu seperti di Malaya yang seperti ada master in races.. we in Sarawak all adalah satu bangsa.. Sarawak cukup luas untuk semua. Dan menghormati agama lain juga adalah satu yang menjadi pengukuhan kepada satu bangsa.

3. Bahasa Inggeris - Mengapa kita harus ketepikan bahasa Inggeris jika kita tahu ianya bahasa dunia. Bukan bermakna kita belajar bahasa Inggeris kita akan mengenepikan bahasa Malaysia. Orang Sarawak misalnya lebih fasih berbahasa Inggeris berbanding dengan orang di Semenanjung kerana sejak dahulu lagi kami sentiasa memastikan ianya digunapakai kerana kami mahu bangsa Sarawak satu bangsa yang global.

4. Sejarah - Apa yang dibelajar sekarang memihak kepada sejarah Melayu sahaja yang mana ianya tidak adil sama sekali kepada bangsa Sarawak. Kami juga mempunyai sejarah sendiri yang harus anak bangsa kami mengetahuinya. Subjek sejarah sekarang HARUS DIROMBAK SAMA SEKALI.

5. Royalti - kami mahu royalti lebih daripada apa yang kami ada kerana sejajar dengan waktu ianya langsung tidak mencukupi. Tuntutan sekarang 10% dan kalau boleh 20% itu penting untuk membangunkan Sarawak lagipun ianya kepunyaan kami.

6. Kuasa jabatan - Mengapa harus ada pengagihan kuasa yang bertimpa-timpa. Jika JKR Sarawak boleh membuatnya kenapa harus ada campurtangan dari JKR Persekutuan. Kadang-kadang kontrak yang kita orang Sarawak tidak mengetahuinya kerana adanya campurtangan daripada orang yang bukan orang Sarawak.

7. Isu 1MDB, we Sarawakian don't care about it kerana kami lebih mementingkan bagaimana untuk hidup dengan keadaan ekonomi sekarang. So tidak payahlah mempengaruhi pemikiran yang tidak ada kene mengena dengan kita.

8. Pembalakan Haram - Pencuri tok ingat macam neneknya pun hutan..oohaa.. perlu dihentikan. Kita kehilangan banyak daripada pencuri-pencuri balak ini. Ianya akan diteruskan sehingga tiada lagi pembalak haram termasuk sawmill yang bersekongkol.

Share dari FB: Haslina Bujang

9 December 2015

"Usul Borneorisasi”, Baru Bian sangkal dakwaan Speaker

Borneorisasi bukanlah perkauman, Borneorisasi merupakan satu perjanjian yang telah termeterai sebelum Sarawak membentuk Malaysia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.70 Ba’kalalan, Baru Bian berkata demikian sebagai menyangkal dakwaan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, yang menganggap usul ‘Borneorisasi’ sebagai bersifat perkauman.

Menurutnya, beliau telah menerima surat dari Setiausaha DUN Sarawak berhubung usul yang diserahkan, tapi ditolak kerana didakwa tidak mengikut undang-undang dan berbaur perkauman.

Tindakan Speaker menolak usul tersebut amat mengecewakan, kata Baru Bian dalam satu Sidang Media di DUN Sarawak hari ini.

“Kita kecewa dengan tafsiran yang menganggap Borneorisasi sebagai bebaur perkauman, sedangkan Borneorisasi merupakan satu perjanjian yang telah termeterai sebelum Sarawak menyertai Malaysia,” katanya.

“Borneorisasi adalah isu penting terutamanya melibatkan perkauman,” tegasnya.

5 December 2015

Kes pukul di CityOne, tiga lelaki mengaku tidak bersalah

KUCHING: Tiga lelaki mengaku tidak bersalah semalam di Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua remaja dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Jalan Song minggu lalu.

Tertuduh, Johny Liew Sze Ming dari Sibu, Lai Muk Hui dan Ng Chap Khing masing-masing dari Kenyalang Park dan RPR Batu 12, bagaimanapun dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM2,000 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu kes itu diteruskan.

Majistret Zulhairil Sulaiman menetapkan 5 Januari depan sebagai tarikh pengurusan kes, manakala tarikh perbicaraan pada 25 Januari 2016.

Dalam kes itu, lima individu ditahan termasuk seorang ibu dan gadis berusia 18 tahun dipercayai terbabit dalam insiden di CityONE Mall pada Ahad lalu, bagaimanapun kedua-dua wanita itu dibebaskan tanpa syarat.

Dalam kejadian itu, pengadu (remaja) dikatakan mengganggu anak perempuan wanita berkenaan sebelum Liew yang merupakan kenalan ibunya datang bersama dua lelaki untuk ‘mengajar’ pengadu selepas dimaklumkan berhubung insiden tersebut.

Rakaman video kejadian berkenaan viral di Facebook yang memaparkan dua remaja lelaki melutut di hadapan sekumpulan lelaki ketika dicederakan.

Liew dan wanita berusia 50 tahun serta anaknya ditahan di Sibu pada Isnin lalu dan direman selama empat sejak itu bagi membantu siasatan sementara Lai, 46, dan Ng, 43, ditahan di Kuching.

Pada mulanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana melakukan rusuhan, namun tiada elemen rusuhan didapati ketika siasatan.

Kesemua tertuduh berdepan tuduhan di bawah Sekysen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 mengikut akta sama yang boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika didapati bersalah.

Pendakwaan dibuat oleh Inspektor Ahmad Ilias manakala kesemua tertuduh diwakil peguam Ting Yong Ginn dan Rosli Gapor.

Sumber: The Borneo Post

3 December 2015

Keling - wira masyarakat Iban Sarawak

Bagi masyarakat Iban di Sarawak perkataan 'keling' sudah tentunya mempunyai maksud yang tersendiri.

'Keling' ialah nama seorang pahlawan dan menurut legenda masyarakat Iban beliau tinggal di rumah panjang Panggau Libau Lendat Dibiau Takang Isang dan isteri beliau bernama 'Kumang' adalah dari rumah panjang Gelong Batu Nakong Nyingit Nyingong Nyimbang Nyerabang.

Dalam bukunya yang bertajuk Keling of the Raised World (terbitan Fajar Bakti, 1991), Jimmy Donald menyatakan bahawa Keling mempunyai personaliti idaman setiap lelaki dalam masyarakat Iban.

Beliau adalah seorang yang gagah, berani, dan juga mempunyai wajah yang cantik (Keling was so wise, brave, strong, fearless and handsome ). Selain dari itu beliau juga dipercayai mempunyai kuasa ghaib (tau ajih) seperti boleh menghilangkan diri daripada penglihatan musuh serta mampu bertukar wajah serta memegang watak yang berbeza.

Sikap Keling yang utama ialah berani. Seseorang pahlawan Iban yang dikatakan mendapat `pertolongan' daripada beliau sudah tentunya sukar untuk ditewaskan oleh musuh mereka.

Menurut masyarakat Iban seseorang yang berjaya berjumpa dengan Keling atau Kumang dalam mimpi mereka sudah pasti akan menjadikan seseorang itu berani dan menjadi pahlawan (Raja Berani).

Dalam bukunya, Tiga Belas Bengkah Mimpi (Tiga Belas Jenis Mimpi) (terbitan Borneo Literature Bureau, 1966), Benedict Sandin menceritakan bagaimana beberapa pahlawan Iban seperti Dana bensumbar Bayang , Orang Kaya Pemanca Nanang dan Unggang Lebor Menua, menjadi pahlawan dan amat digeruni kerana dipercayai mendapat `bantuan' daripada Keling dan Kumang.

Cerita kepahlawan dan keberanian Keling juga berbagai dan sentiasa diceritakan (ensera) kepada anak-anak kecil orang Iban yang tinggal di rumah panjang. Misalnya orang-orang tua akan bercerita tentang kehebatan Keling dan bagaimana beliau menjadi seorang pahlawan yang sukar untuk ditewaskan oleh musuh.

Misalnya dalam buku Keling Nyumpit (Keling Menyumpit) (terbitan Borneo Literature Bureau, 1967) oleh Geogre Janang, menceritakan bagaimana Keling dan seorang lagi teman beliau bernama Laja berjaya melepaskan isteri mereka, Kumang dan Lulong (isteri Laja ) daripada tawanan musuh mereka, Apai Sabit Bekait.

Kedua-dua Kumang dan Lulong ditawan oleh Apai Sabit Bekait semasa mereka mencari ikan (mansai) di sebatang sungai. Setelah ditahan Apai Sabit Bekait menyimpan mereka di dalam sangkar besi.

Bagi orang Iban, nama Keling ini sememangnya dihormati dan mempunyai kaitan yang rapat dengan adat resam dan tradisi mereka. Mungkin pada hari ini Keling dan Kumang boleh dikatakan sebagai role models dalam masyarakat Iban.

Sebagai mengingati legenda Keling dan Kumang masyarakat Iban di Sarawak mengadakan pertandingan Keling Gawai bagi lelaki dan Kumang Gawai bagi wanita untuk memilih mereka yang menawan dan cantik.

Upacara ini diadakan pada tiap-tiap tahun besemperna Gawai Dayak di Sarawak. Tambahan pula aktiviti Keling dan Kumang Gawai telah menjadi sebahagian daripada aktiviti pelancongan negeri Sarawak.

Dalam masyarakat majmuk seperti di Malaysia sudah tentunya sesuatu perkataan yang sama ejaan dan bunyi boleh jadi mempunyai erti yang berbeza. Namun demikian bagi masyarakat Iban di Sarawak, perkataan Keling adalah nama seseorang pahlawanan yang berani, mulia dan personaliti yang ingin dicontohi oleh setiap orang Iban di Sarawak.

Mungkin penggunaan perkataan 'Keling' boleh dikhaskan untuk merujuk kepada legenda masyarakat Iban di Sarawak sahaja.

Silap Guna Perkataan 'Keling' Dan 'Kumang': MAB Sibu Minta Maaf

SIBU: Niat baik Malaysia Airports Berhad (MAB) menerapkan ciri-ciri kebudayaan tempatan bagi operasi bangunan Lapangan Terbang Sibu mengundang respons negatif daripada penduduk Sarawak.

Penggunaan perkataan 'Keling' dan 'Kumang' bagi menggantikan perkataan 'Lelaki' dan 'Wanita' pada papan tanda di pintu tandas balai berlepas Lapangan Terbang Sibu bukan sahaja tidak sesuai, malah mengguris hati masyarakat Iban.

Ia diviralkan sejak semalam dan mengundang rasa marah pelbagai pihak, termasuk Pertubuhan Belia Dayak Sarawak (Pebedas) cawangan Sibu yang membuat laporan di Balai Polis Sibu Jaya pada jam 1 tengah hari ini.

Ketika memperjelaskan makna perkataan itu, Pengerusi Pebedas, Mathew Moilan berkata Keling dan Kumang adalah pasangan dari kayangan iaitu Panggau Libau dan Gelong, selain daripada tujuh dewa utama yang disembah masyarakat Iban yang masih mengamalkan kepercayaan lama mereka.

"Keling dan Kumang adalah dewa dan dewi bagi masyarakat Iban," katanya, sambil menambah, adalah menyedihkan apabila nama dua tokoh yang mereka anggap suci itu dijadikan papan tanda di pintu tandas.

Presiden Persatuan Dayak Miri Serawa Budol pula berkata bagi masyarakat Iban, Keling adalah pahlawan yang gagah, berani dan bijak manakala Kumang pula selain cantik, mempunyai pelbagai kemahiran yang menjadi ikutan wanita Iban sehingga kini.

Menurut beliau, MAB Sibu sepatutnya peka mengenai perkara itu dan sekiranya ingin mempromosi bahasa Iban, adalah mencukupi untuk menggunakan perkataan 'Lelaki' dan 'Indu'.

Berikutan itu, pengurus MAB Sibu Zainuddin Abu Nasir memohon maaf secara terbuka kepada masyarakat Iban di negeri ini, dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu.

MAB, katanya, tidak mempunyai sebarang niat untuk melukakan hati masyarakat Iban kerana sebelum ini, pihaknya melihat perkataan itu boleh digunakan untuk menggambarkan lelaki dan wanita.

"Kami kesal dengan kejadian ini dan kami berjanji ia tidak akan berulang di mana-mana lapangan terbang MAB di negara ini," katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Supt Martin Khoo yang turut hadir berkata sidang akhbar itu diadakan berikutan permohonan Zainuddin supaya dapat meminta maaf kepada masyarakat Iban.

"Kita harap perkara ini tidak dipanjangkan lagi selepas ini agar tidak lagi mengguris hati masyarakat. Begitu juga kita mahu agar Pebedas boleh menguar-uarkan permohonan maaf MAB di Facebook agar masyarakat maklum mengenainya," kata beliau.

2 December 2015

Sarawak Bincang Cadangan Haram Vape

KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak akan membincangkan cadangan untuk mengharamkan penggunaan dan penjualan vape dalam mesyuarat Kabinet negeri akan datang.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti negeri, Datuk Seri Wong Soon Koh berkata, cadangan untuk mengharamkan produk berkenaan perlu dibangkitkan memandangkan rokok elektronik adalah sangat tidak selamat terhadap kesihatan.

“Secara peribadi, saya fikir vape perlu diharamkan tetapi perkara ini perlu dibawa kepada mesyuarat Kabinet negeri terlebih dahulu.

“Kami akan berbuat demikian apabila tiba masanya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada Sabtu lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan supaya penggunaan semua produk vape diharamkan di seluruh negeri itu dan memberi tempoh sebulan kepada pengusaha premis peranti berkenaan untuk menamatkan operasi tanpa alasan.

Kementerian Kesihatan juga menyambut baik titah Sultan Johor yang selaras dengan hasrat kementerian untuk mencapai Generasi Malaysia Bebas Daripada Sebarang Amalan Merokok menjelang 2045.

Sementara itu, Menteri Muda Kesihatan Awam negeri, Datuk Dr. Jerip Susil memberitahu, penggunaan dan penjualan vape dilihat wajar diharamkan demi kesihatan masyarakat.

“Pengawet yang digunakan untuk mengekalkan nikotin dalam vape sebenarnya adalah ‘formaldehyde’ yang sangat beracun bagi tubuh.

“Vape juga boleh disalah guna dengan meletakkan dadah. Walaupun pengeluar cecair mengeluarkan kandungan cecair mengikut standard, namun pengguna boleh meletakkan apa sahaja jenis sebatian dalam vape mereka,” ujarnya

1 December 2015

Lima suspek pergaduhan di City One ditahan polis

Lima suspek di Sibu dan Kuching ditahan untuk membantu siasatan berhubung sebuah rakaman video tiga lelaki membelasah dua lelaki di sebuah pusat beli-belah di Kuching yang menjadi viral di Facebook, sejak Isnin lalu.

Siasatan mula dijalankan ke atas rakaman video itu, apabila seorang mangsa berusia 19 tahun membuat laporan polis, Selasa lalu.

Difahamkan, dua mangsa itu telah membuli anak perempuan salah seorang suspek, pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Roslan Bek Ahmad berkata, bapa gadis itu terbang dari Sibu untuk mencari pembuli anaknya, namun keadaan menjadi tidak terkawal.

“Mangsa-mangsa itu mengalami lebam dan luka akibat dibelasah dan telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak bagi mendapatkan rawatan pesakit luar,” kata Roslan.

Isnin lalu, polis Sibu menahan seorang lelaki berusia 45 tahun bersama isterinya berumur 50 tahun dan anak perempuan mereka berusia18 tahun di rumah mereka, pada jam 8 malam.

Manakala polis di Kuching pula memberkas dua lelaki berusia 43 dan 46 tahun, selepas merekodkan kenyataan mereka di Balai Polis Simpang Tiga.

Semua suspek direman untuk siasatan lanjut dan kes itu diklasifikasikan sebagai rusuhan.Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara dua tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.