4 November 2015

Ibu lapor polis syak anak dirogol kenalan Wechat

KUCHING: Seorang ibu yang mengesyaki anak perempuannya menjadi mangsa rogol seorang lelaki yang baharu dikenalinya melalui aplikasi Wechat tampil membuat laporan polis semalam.

Menurut sumber, mangsa berusia 14 tahun dan berasal dari kawasan Semariang itu dikatakan baharu mengenali seorang lelaki sejak seminggu lalu sebelum mengajaknya berjumpa pada Isnin lepas.

Dikatakan, suspek telah menjemput mangsa di rumah malam hari tersebut dan membawanya ke sebuah rumah kosong di Stakan, Kota Sentosa.

“Mangsa baharu berkenalan dengan suspek melalui Wechat sejak seminggu lalu dan mereka kali pertama berjumpa ialah pada malam Isnin, di mana mangsa kemudian dibawa ke Stakan dan dipercayai dirogol di situ.

“Suspek kemudian hanya menghantar mangsa pulang pada pagi tadi (semalam) menyebabkan ibu mangsa yang menyedari perkara tersebut terus membawa mangsa membuat laporan polis,” kata sumber.

Difahamkan, mangsa turut dibawa oleh pihak polis melawat tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk pemeriksaan kesihatan.

Siasatan lanjut pihak polis masih dijalankan.

Sumber: The Borneo Post

No comments:

Post a Comment