KUCHING-Rekod 100m kebangsaan yang dicipta oleh Watson Nyambek - atlet olahraga kelahiran Miri, Sarawak mungkin akan dikekalkan.
Ini telah dinyatakan oleh Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Low Beng Choo yang baru baru ini mengulas mengenai rekod baru kebangsaan acara 100 meter iaitu 10.29 saat dicatat Badrul Hisham Abdul Manap dari Melaka di Sukan Sekolah Sekolah ASEAN (ASG) di Brunei November tahun lalu mungkin tidak diiktiraf.
Datuk Low yang ditemuramah oleh Agensi Berita Nasional (BERNAMA) berkata demikian selepas penganjur ASG dikatakan meletakkan tempat pengukur angin di kedudukan yang salah.
“Saya yakin perkara sebegitu (rekod tidak diiktiraf) tidak mungkin berlaku pada SUKMA kerana kita bekerja rapat dengan persatuan sukan yang terlibat dan kita mengadakan mesyuarat dari semasa ke semasa untuk membuat perancangan rapi.
“Bagi Badrul, beliau patut mengambilnya sebagai sumber inspirasi untuk mencipta rekod yang lebih baik pada masa hadapan. Saya fikir rekod itu tidak mustahak dan apa yang penting ialah beliau perlu diberi peluang untuk buktikan kemampuannya,” kata beliau.
Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak Dr Ong Kong Swee turut menyatakan bahawa pihaknya akan merayu agar rekod 100M yang dicipta Watson Nyambek 17 tahun yang lalu dikekalkan sehingga perkara tersebut diselesaikan dengan kerjasama International Association Athletics Federation (IAAF).
No comments:
Post a Comment